Tugasan
Blog (Rencana) SZW502
“Ikhlaskah
Kita Dalam Beribadah”
Nor
Asariah Binti Ilias
Calon
Sarjana Sains Kemasyarakatan
Pengurusan
Pembangunan Islam
PSM0128/12
Ikhlas merupakan sifat yang paling tinggi selepas iman.
Ia adalah rahsia Allah SWT sehinggakan para malaikat dan empunya diri tidak
tahu untuk mengukur tahap keikhlasan. Dalam kalangan para sahabat, apabila
mereka mendengar perkataan ikhlas, mereka akan menangis kerana merasa takut dan
keikhlasan tidak mungkin diperoleh dengan cara yang mudah kerana ikhlas itu
tinggi nilainya. Islam tidak membenarkan seseorang mengaku diri mereka ikhlas.
Sesiapa yang mengaku dirinya ikhlas, secara automatik, ikhlasnya terbatal.
Antara contoh bagaimana mengaku diri sebagai ikhlas dalam membantu seseorang
sambil berkata,
“Ambillah, saya ikhlas…”
“Saya tolong awak ini ikhlas, tapi sedih, awak
menolak…”
Ikhlas merupakan perkataan yang mudah disebut, tetapi
sukar dilakukan kerana ikhlas adalah buah atau intisari daripada iman.
Seseorang tidak dianggap beragama dengan benar sekiranya tidak mempunyai
keikhlasan. Ikhlas bermaksud bersih dari kotoran. Individu yang ikhlas adalah
individu yang berpegang teguh kepada agamanya kerana mengharapkan keredhaan
Allah SWT. Dalam ajaran Islam, ikhlas merupakan roh
atau jiwa ibadah. Ia menjadi penentu adakah amal ibadah kita diterima atau
ditolak. Apabila amal ibadah tidak ikhlas, maka ia tidak ada nilai di sisi
Allah SWT atau tidak ada harganya lagi. Namun sekiranya kita ikhlas dalam
beramal, Allah SWT menerima amalan kita dan diberi ganjaran yang tidak
ternilai.
Bagaimanakah dikatakan ikhlas ini menjadi
penentu? Amal ibadah digambarkan sebagai seorang manusia. Apabila nyawa (roh)
sudah tiada, kita akan menjadi jenazah. Jenazah mesti ditanam di dalam kubur
kerana nilai kemanusiaannya sudah tiada lagi. Jenazah tersebut tidak boleh bergaul
dengan orang yang hidup walaupun jenazah seorang ratu cantik, kerana ia akan menjadi
busuk, berulat dan reput menjadi tanah. Begitulah dengan amal ibadah. Sekiranya,
tiada roh atau jiwa, dan tidak ikhlas, kita akan dianggap seperti jenazah yang
tiada harganya lagi. Manusia hanya menilai dengan mata zahir sahaja maka yang
kelihatan, amal ibadahnya itu banyak, cantik dan berakhlak, sedangkan Allah SWT
melihat daripada batinNya. Walaupun amal itu sedikit, sekiranya ikhlas, Allah SWT
tetap menganggapnya banyak. Namun sekiranya, amal ibadah banyak tetapi tidak
ikhlas, Allah SWT akan menganggapnya sedikit. Allah SWT menjadikan manusia untuk
beribadah dan memperhambakan diri kepadaNya. Ini jelas dari firman Allah SWT
yang bermaksud:
"Tidak aku
menjadikan manusia dan jin kecuali untuk beribadah kepadaku.”
(adh-Dhariyat,
51:56)
Keikhlasan beribadah seseorang
kepada Allah adalah bermula daripada niat seseorang dalam mengerjakan ibadah
tersebut. Sebagaimana diterangkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadisnya yang
bermaksud:
"Sesungguhnya segala perbuatan yang dilakukan itu
dengan niat dan sesungguhnya tiap-tiap manusia apa yang diniatkannya maka
barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya maka hijrahnya itu kepada
Allah dan Rasulnya dan barang siapa yang hijrahnya kepada dunia yang ia ingin
memperolehinya atau kepada perempuan yang hendak dinikahinya maka hijrahnya itu
kepada apa yang ia inginkan."
(Hadis Riwayat Al-Bukhari, no.Hadis:6689)
(Hadis Riwayat Al-Bukhari, no.Hadis:6689)
Antara ibadah yang wajib kita
lakukan, ialah dengan berpuasa di bulan Ramadhan. Ibadah puasa perlu kepada
keikhlasan sebagaimana ibadah-ibadah lain yang dilakukan kerana keikhlasan hati
dalam mengerjakan ibadah menjadi syarat penerimaan ibadah itu oleh Allah SWT.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada rupa
kamu, dan harta kamu dan sesungguhnya Allah SWT melihat kepada hati dan amal
ibadah kamu."
(Hadis Riwayat Nasa’i)
Dengan ini jelas Allah SWT melihat
hati manusia untuk menilai dan menentukan amal ibadat yang sebenarnya. Individu
yang beramal tanpa keikhlasan di dalamnya maka amalan yang ditunaikan itu tidak
mempunyai roh dan tidak diterima. Ia juga merupakan landasan yang kukuh ke atas
individu yang melaksanakan berbagai amalan dan sifat keikhlasan adalah kunci
kepada segala kebahagiaan. Sesuatu pekerjaan tanpa keikhlasan tidak akan
menghasilkan manfaat malah akan merugikan diri sendiri. Individu yang bekerja
tanpa keikhlasan hanya bekerja untuk lahir sahaja dan amal tanpa ikhlas sudah pasti
tidak menghasilkan pahala di sisi Allah SWT.
Allah SWT memerintahkan kita
semua beramal dan beribadat dengan keikhlasan hati. Segala pengabdian diri
terhadap Allah SWT hendaklah dilakukan seikhlas-ikhlasnya dengan penuh
kebenaran, keadilan, kebijaksanaan dan kesabaran, sebagaimana firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Kami menurunkan al-Qur’an ini kepadamu
(wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah engkau menyembah
Allah SWT dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya.”
(az-Zumar, 39:2)
Dari ayat di atas dapat menjelaskan
bahawa Allah SWT memerintahkan umatnya supaya mengabdikan diri kita kepadaNya
dengan tulus ikhlas dalam erti kata mengerjakan sesuatu amalan kerana Allah SWT
tanpa mengharapkan ganjaran.
Syeikh Al Khushairi seorang
pengasas tasawuf menerangkan bahawa ikhlas itu ialah mengerjakan ibadah kerana
ingin mendekatkan diri kepada Allah SWT bukan kerana untuk mengharapkan balasan
semata-mata.
Sifat
keikhlasan hati itulah yang menjadi pedoman kepada seseorang dalam pekerjaan
atau perkhidmatan. Individu yang bekerja dengan penuh keikhlasan hati sudah
pasti tidak mudah berputus asa di tengah jalan. Mereka tidak akan berpuas hati
sebelum pekerjaan yang dilaksanakannya itu berhasil sepenuhnya. Selain itu,
mereka juga tidak sombong apabila menerima pujian, dinaikkan pangkat atau
mendapat harta yang banyak dan kedudukan yang baik malahan individu yang
bekerja dengan ikhlas tetap terus berusaha sehingga tercapai matlamatnya kerana
mereka mengharapkan keredhaan Allah SWT yang tidak ada batasannya.
Imam Ghazali pula mengatakan manusia
semuanya mati kecuali yang masih hidup adalah orang yang berilmu tetapi umumnya
orang yang berilmu itu sedang nyenyak tertidur kecuali yang jaga adalah orang
yang berilmu dan beramal. Tetapi orang yang beramal itu pula sering tergoda
atau terpedaya kecuali yang tidak terpedaya hanya orang yang ikhlas tetapi
ingatlah bahawa ikhlas itu berada di dalam keadaan yang amat sulit ibarat telur
di hujung tanduk.
Imam Ghazali memberikan gambaran
yang tepat terhadap sifat yang ikhlas dan kita harus yakin bahawa sesuatu amalan
yang dikerjakan dengan ikhlas amat penting dan merupakan senjata yang tidak
luntur bagi menghadapi gangguan yang lahir dari syaitan. Firman Allah SWT:
“Iblis
berkata Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi
sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan
zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali di
antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hamba-Mu yang dibersihkan dari sebarang
syirik.”
(al-Hijr,15:39-40)
Hadis bagi tiga orang yang telah
mati syahid diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, perlu menjadi ingatan kita.
Hadis sahih riwayat Muslim:
1. Seorang yang berperang
sehingga mati, namun niatnya hendak dikatakan sebagai seorang yang berani.
2. Seorang yang mahir
membaca al-Qur’an dan sentiasa mengajarkannya, namun niatnya hendak dikatakan
sebagai seorang alim dan qari.
3. Seorang yang mempunyai
harta yang melimpah ruah dan membelanjakannya ke jalan Allah SWT, namun niatnya
hendak dikatakan sebagai seorang yang dermawan.
Oleh itu, ikhlas adalah melakukan
segala sesuatu kerana mengharapkan keredhaanNya. Muslim yang ikhlas biasanya
memiliki ciri-ciri seperti berikut:
1. Sentiasa
beramal dan bersungguh-sungguh dalam melakukan amalan, baik dalam diri sendiri
atau bersama orang lain. Al-Qur’an telah menjelaskan sifat orang-orang beriman
yang ikhlas dan sifat orang-orang munafik. Allah SWT berfirman:
“Orang-orang yang beriman kepada Allah dan
hari akhir, tidak akan meminta izin kepadamu untuk (tidak ikut) berjihad dengan
harta dan diri mereka. Dan Allah mengetahui orang-orang yang bertakwa.
Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu, hanyalah orang-orang yang tidak
beriman kepada Allah dan hari akhir, dan hati mereka ragu-ragu, karena itu
mereka selalu bimbang dalam keragu-raguannya.”
( At-Taubah, 9:44-45)
2. Terhindar
dari segala perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Seperti yang disebutkan
dalam hadis:
“Aku
memberitahu bahawa ada suatu kaum dari umatku datang di hari kiamat dengan
kebaikan seperti Gunung Tihamah yang putih, tetapi Allah menjadikannya seperti
debu-debu yang berterbangan. Mereka adalah saudara-saudara kamu, dan kulitnya
sama dengan kamu, melakukan ibadah malam seperti kamu. Tetapi mereka adalah
kaum yang jika sendiri melanggar yang diharamkan Allah.”
Matlamat utama orang yang
ikhlas adalah redha Allah SWT, bukan mengharapkan redha manusia. Sehingga,
mereka sentiasa memperbaiki diri dan terus beramal, baik dalam situasi sendiri
atau kepada orang lain kerana mereka yakin Allah SWT maha melihat setiap amal
baik dan buruk walau sekecil zarah sekalipun.
(Hadis Riwayat Ibnu
Majah)
Kesimpulannya beramal dan beribadah perlu kepada keikhlasan dan kejujuran. Oleh itu untuk menjadikan sesuatu amalan kekal abadi sempurna zahir dan batin kita perlu melakukan segala amalan dengan tulus dan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT tanpa mengira waktu dan dapat diterima oleh Allah SWT sekaligus meningkatkan ketakwaan kita kepadaNya. Kekuatan hati terletak kepada keikhlasan sebagaiman firman Allah SWT yang bermaksud:
“Katakanlah: Sesungguhnya
sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah SWT, Tuhan
yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (al-An’am, 6:162)