Tuesday 10 December 2013

“Ikhlaskah Kita Dalam Beribadah”






Tugasan Blog (Rencana) SZW502

“Ikhlaskah Kita Dalam Beribadah”

Nor Asariah Binti Ilias
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan
Pengurusan Pembangunan Islam
PSM0128/12



Ikhlas merupakan sifat yang paling tinggi selepas iman. Ia adalah rahsia Allah SWT sehinggakan para malaikat dan empunya diri tidak tahu untuk mengukur tahap keikhlasan. Dalam kalangan para sahabat, apabila mereka mendengar perkataan ikhlas, mereka akan menangis kerana merasa takut dan keikhlasan tidak mungkin diperoleh dengan cara yang mudah kerana ikhlas itu tinggi nilainya. Islam tidak membenarkan seseorang mengaku diri mereka ikhlas. Sesiapa yang mengaku dirinya ikhlas, secara automatik, ikhlasnya terbatal. Antara contoh bagaimana mengaku diri sebagai ikhlas dalam membantu seseorang sambil berkata,

“Ambillah, saya ikhlas…”
“Saya tolong awak ini ikhlas, tapi sedih, awak menolak…”




Ikhlas merupakan perkataan yang mudah disebut, tetapi sukar dilakukan kerana ikhlas adalah buah atau intisari daripada iman. Seseorang tidak dianggap beragama dengan benar sekiranya tidak mempunyai keikhlasan. Ikhlas bermaksud bersih dari kotoran. Individu yang ikhlas adalah individu yang berpegang teguh kepada agamanya kerana mengharapkan keredhaan Allah SWT. Dalam ajaran Islam, ikhlas merupakan roh atau jiwa ibadah. Ia menjadi penentu adakah amal ibadah kita diterima atau ditolak. Apabila amal ibadah tidak ikhlas, maka ia tidak ada nilai di sisi Allah SWT atau tidak ada harganya lagi. Namun sekiranya kita ikhlas dalam beramal, Allah SWT menerima amalan kita dan diberi ganjaran yang tidak ternilai.

Bagaimanakah dikatakan ikhlas ini menjadi penentu? Amal ibadah digambarkan sebagai seorang manusia. Apabila nyawa (roh) sudah tiada, kita akan menjadi jenazah. Jenazah mesti ditanam di dalam kubur kerana nilai kemanusiaannya sudah tiada lagi. Jenazah tersebut tidak boleh bergaul dengan orang yang hidup walaupun jenazah seorang ratu cantik, kerana ia akan menjadi busuk, berulat dan reput menjadi tanah. Begitulah dengan amal ibadah. Sekiranya, tiada roh atau jiwa, dan tidak ikhlas, kita akan dianggap seperti jenazah yang tiada harganya lagi. Manusia hanya menilai dengan mata zahir sahaja maka yang kelihatan, amal ibadahnya itu banyak, cantik dan berakhlak, sedangkan Allah SWT melihat daripada batinNya. Walaupun amal itu sedikit, sekiranya ikhlas, Allah SWT tetap menganggapnya banyak. Namun sekiranya, amal ibadah banyak tetapi tidak ikhlas, Allah SWT akan menganggapnya sedikit. Allah SWT menjadikan manusia untuk beribadah dan memperhambakan diri kepadaNya. Ini jelas dari firman Allah SWT yang bermaksud:

"Tidak aku menjadikan manusia dan jin kecuali untuk beribadah kepadaku.” 


(adh-Dhariyat, 51:56)

Keikhlasan beribadah seseorang kepada Allah adalah bermula daripada niat seseorang dalam mengerjakan ibadah tersebut. Sebagaimana diterangkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadisnya yang bermaksud:

"Sesungguhnya segala perbuatan yang dilakukan itu dengan niat dan sesungguhnya tiap-tiap manusia apa yang diniatkannya maka barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasulnya dan barang siapa yang hijrahnya kepada dunia yang ia ingin memperolehinya atau kepada perempuan yang hendak dinikahinya maka hijrahnya itu kepada apa yang ia inginkan."

(Hadis Riwayat Al-Bukhari, no.Hadis:6689)

Antara ibadah yang wajib kita lakukan, ialah dengan berpuasa di bulan Ramadhan. Ibadah puasa perlu kepada keikhlasan sebagaimana ibadah-ibadah lain yang dilakukan kerana keikhlasan hati dalam mengerjakan ibadah menjadi syarat penerimaan ibadah itu oleh Allah SWT. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada rupa kamu, dan harta kamu dan sesungguhnya Allah SWT melihat kepada hati dan amal ibadah kamu." 

(Hadis Riwayat Nasa’i)

Dengan ini jelas Allah SWT melihat hati manusia untuk menilai dan menentukan amal ibadat yang sebenarnya. Individu yang beramal tanpa keikhlasan di dalamnya maka amalan yang ditunaikan itu tidak mempunyai roh dan tidak diterima. Ia juga merupakan landasan yang kukuh ke atas individu yang melaksanakan berbagai amalan dan sifat keikhlasan adalah kunci kepada segala kebahagiaan. Sesuatu pekerjaan tanpa keikhlasan tidak akan menghasilkan manfaat malah akan merugikan diri sendiri. Individu yang bekerja tanpa keikhlasan hanya bekerja untuk lahir sahaja dan amal tanpa ikhlas sudah pasti tidak menghasilkan pahala di sisi Allah SWT.

Allah SWT memerintahkan kita semua beramal dan beribadat dengan keikhlasan hati. Segala pengabdian diri terhadap Allah SWT hendaklah dilakukan seikhlas-ikhlasnya dengan penuh kebenaran, keadilan, kebijaksanaan dan kesabaran, sebagaimana firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Kami menurunkan al-Qur’an ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya.” 
(az-Zumar, 39:2)

Dari ayat di atas dapat menjelaskan bahawa Allah SWT memerintahkan umatnya supaya mengabdikan diri kita kepadaNya dengan tulus ikhlas dalam erti kata mengerjakan sesuatu amalan kerana Allah SWT tanpa mengharapkan ganjaran.

Syeikh Al Khushairi seorang pengasas tasawuf menerangkan bahawa ikhlas itu ialah mengerjakan ibadah kerana ingin mendekatkan diri kepada Allah SWT bukan kerana untuk mengharapkan balasan semata-mata. Sifat keikhlasan hati itulah yang menjadi pedoman kepada seseorang dalam pekerjaan atau perkhidmatan. Individu yang bekerja dengan penuh keikhlasan hati sudah pasti tidak mudah berputus asa di tengah jalan. Mereka tidak akan berpuas hati sebelum pekerjaan yang dilaksanakannya itu berhasil sepenuhnya. Selain itu, mereka juga tidak sombong apabila menerima pujian, dinaikkan pangkat atau mendapat harta yang banyak dan kedudukan yang baik malahan individu yang bekerja dengan ikhlas tetap terus berusaha sehingga tercapai matlamatnya kerana mereka mengharapkan keredhaan Allah SWT yang tidak ada batasannya.

Imam Ghazali pula mengatakan manusia semuanya mati kecuali yang masih hidup adalah orang yang berilmu tetapi umumnya orang yang berilmu itu sedang nyenyak tertidur kecuali yang jaga adalah orang yang berilmu dan beramal. Tetapi orang yang beramal itu pula sering tergoda atau terpedaya kecuali yang tidak terpedaya hanya orang yang ikhlas tetapi ingatlah bahawa ikhlas itu berada di dalam keadaan yang amat sulit ibarat telur di hujung tanduk.

Imam Ghazali memberikan gambaran yang tepat terhadap sifat yang ikhlas dan kita harus yakin bahawa sesuatu amalan yang dikerjakan dengan ikhlas amat penting dan merupakan senjata yang tidak luntur bagi menghadapi gangguan yang lahir dari syaitan. Firman Allah SWT:

“Iblis berkata Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hamba-Mu yang dibersihkan dari sebarang syirik.” 


(al-Hijr,15:39-40)

Hadis bagi tiga orang yang telah mati syahid diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, perlu menjadi ingatan kita. Hadis sahih riwayat Muslim:

1.  Seorang yang berperang sehingga mati, namun niatnya hendak dikatakan sebagai seorang yang berani.
2.  Seorang yang mahir membaca al-Qur’an dan sentiasa mengajarkannya, namun niatnya hendak dikatakan sebagai seorang alim dan qari.
3.  Seorang yang mempunyai harta yang melimpah ruah dan membelanjakannya ke jalan Allah SWT, namun niatnya hendak dikatakan sebagai seorang yang dermawan.




Oleh itu, ikhlas adalah melakukan segala sesuatu kerana mengharapkan keredhaanNya. Muslim yang ikhlas biasanya memiliki ciri-ciri seperti berikut:

1.  Sentiasa beramal dan bersungguh-sungguh dalam melakukan amalan, baik dalam diri sendiri atau bersama orang lain. Al-Qur’an telah menjelaskan sifat orang-orang beriman yang ikhlas dan sifat orang-orang munafik. Allah SWT berfirman:

“Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhir, tidak akan meminta izin kepadamu untuk (tidak ikut) berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan Allah mengetahui orang-orang yang bertakwa. Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhir, dan hati mereka ragu-ragu, karena itu mereka selalu bimbang dalam keragu-raguannya.”
( At-Taubah, 9:44-45)

2.   Terhindar dari segala perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Seperti yang disebutkan dalam hadis:

“Aku memberitahu bahawa ada suatu kaum dari umatku datang di hari kiamat dengan kebaikan seperti Gunung Tihamah yang putih, tetapi Allah menjadikannya seperti debu-debu yang berterbangan. Mereka adalah saudara-saudara kamu, dan kulitnya sama dengan kamu, melakukan ibadah malam seperti kamu. Tetapi mereka adalah kaum yang jika sendiri melanggar yang diharamkan Allah.” 


(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Matlamat utama orang yang ikhlas adalah redha Allah SWT, bukan mengharapkan redha manusia. Sehingga, mereka sentiasa memperbaiki diri dan terus beramal, baik dalam situasi sendiri atau kepada orang lain kerana mereka yakin Allah SWT maha melihat setiap amal baik dan buruk walau sekecil zarah sekalipun.


Kesimpulannya beramal dan beribadah perlu kepada keikhlasan dan kejujuran. Oleh itu untuk menjadikan sesuatu amalan kekal abadi sempurna zahir dan batin kita perlu melakukan segala amalan dengan tulus dan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT tanpa mengira waktu dan dapat diterima oleh Allah SWT sekaligus meningkatkan ketakwaan kita kepadaNya. Kekuatan hati terletak kepada keikhlasan sebagaiman firman Allah SWT yang bermaksud:




“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah SWT, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (al-An’am, 6:162)

1 comment:

  1. Assalam..izinkan saya copy untuk pengajaran...syukran

    ReplyDelete