Tuesday 10 December 2013

“Ikhlaskah Kita Dalam Beribadah”






Tugasan Blog (Rencana) SZW502

“Ikhlaskah Kita Dalam Beribadah”

Nor Asariah Binti Ilias
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan
Pengurusan Pembangunan Islam
PSM0128/12



Ikhlas merupakan sifat yang paling tinggi selepas iman. Ia adalah rahsia Allah SWT sehinggakan para malaikat dan empunya diri tidak tahu untuk mengukur tahap keikhlasan. Dalam kalangan para sahabat, apabila mereka mendengar perkataan ikhlas, mereka akan menangis kerana merasa takut dan keikhlasan tidak mungkin diperoleh dengan cara yang mudah kerana ikhlas itu tinggi nilainya. Islam tidak membenarkan seseorang mengaku diri mereka ikhlas. Sesiapa yang mengaku dirinya ikhlas, secara automatik, ikhlasnya terbatal. Antara contoh bagaimana mengaku diri sebagai ikhlas dalam membantu seseorang sambil berkata,

“Ambillah, saya ikhlas…”
“Saya tolong awak ini ikhlas, tapi sedih, awak menolak…”




Ikhlas merupakan perkataan yang mudah disebut, tetapi sukar dilakukan kerana ikhlas adalah buah atau intisari daripada iman. Seseorang tidak dianggap beragama dengan benar sekiranya tidak mempunyai keikhlasan. Ikhlas bermaksud bersih dari kotoran. Individu yang ikhlas adalah individu yang berpegang teguh kepada agamanya kerana mengharapkan keredhaan Allah SWT. Dalam ajaran Islam, ikhlas merupakan roh atau jiwa ibadah. Ia menjadi penentu adakah amal ibadah kita diterima atau ditolak. Apabila amal ibadah tidak ikhlas, maka ia tidak ada nilai di sisi Allah SWT atau tidak ada harganya lagi. Namun sekiranya kita ikhlas dalam beramal, Allah SWT menerima amalan kita dan diberi ganjaran yang tidak ternilai.

Bagaimanakah dikatakan ikhlas ini menjadi penentu? Amal ibadah digambarkan sebagai seorang manusia. Apabila nyawa (roh) sudah tiada, kita akan menjadi jenazah. Jenazah mesti ditanam di dalam kubur kerana nilai kemanusiaannya sudah tiada lagi. Jenazah tersebut tidak boleh bergaul dengan orang yang hidup walaupun jenazah seorang ratu cantik, kerana ia akan menjadi busuk, berulat dan reput menjadi tanah. Begitulah dengan amal ibadah. Sekiranya, tiada roh atau jiwa, dan tidak ikhlas, kita akan dianggap seperti jenazah yang tiada harganya lagi. Manusia hanya menilai dengan mata zahir sahaja maka yang kelihatan, amal ibadahnya itu banyak, cantik dan berakhlak, sedangkan Allah SWT melihat daripada batinNya. Walaupun amal itu sedikit, sekiranya ikhlas, Allah SWT tetap menganggapnya banyak. Namun sekiranya, amal ibadah banyak tetapi tidak ikhlas, Allah SWT akan menganggapnya sedikit. Allah SWT menjadikan manusia untuk beribadah dan memperhambakan diri kepadaNya. Ini jelas dari firman Allah SWT yang bermaksud:

"Tidak aku menjadikan manusia dan jin kecuali untuk beribadah kepadaku.” 


(adh-Dhariyat, 51:56)

Keikhlasan beribadah seseorang kepada Allah adalah bermula daripada niat seseorang dalam mengerjakan ibadah tersebut. Sebagaimana diterangkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadisnya yang bermaksud:

"Sesungguhnya segala perbuatan yang dilakukan itu dengan niat dan sesungguhnya tiap-tiap manusia apa yang diniatkannya maka barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasulnya dan barang siapa yang hijrahnya kepada dunia yang ia ingin memperolehinya atau kepada perempuan yang hendak dinikahinya maka hijrahnya itu kepada apa yang ia inginkan."

(Hadis Riwayat Al-Bukhari, no.Hadis:6689)

Antara ibadah yang wajib kita lakukan, ialah dengan berpuasa di bulan Ramadhan. Ibadah puasa perlu kepada keikhlasan sebagaimana ibadah-ibadah lain yang dilakukan kerana keikhlasan hati dalam mengerjakan ibadah menjadi syarat penerimaan ibadah itu oleh Allah SWT. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada rupa kamu, dan harta kamu dan sesungguhnya Allah SWT melihat kepada hati dan amal ibadah kamu." 

(Hadis Riwayat Nasa’i)

Dengan ini jelas Allah SWT melihat hati manusia untuk menilai dan menentukan amal ibadat yang sebenarnya. Individu yang beramal tanpa keikhlasan di dalamnya maka amalan yang ditunaikan itu tidak mempunyai roh dan tidak diterima. Ia juga merupakan landasan yang kukuh ke atas individu yang melaksanakan berbagai amalan dan sifat keikhlasan adalah kunci kepada segala kebahagiaan. Sesuatu pekerjaan tanpa keikhlasan tidak akan menghasilkan manfaat malah akan merugikan diri sendiri. Individu yang bekerja tanpa keikhlasan hanya bekerja untuk lahir sahaja dan amal tanpa ikhlas sudah pasti tidak menghasilkan pahala di sisi Allah SWT.

Allah SWT memerintahkan kita semua beramal dan beribadat dengan keikhlasan hati. Segala pengabdian diri terhadap Allah SWT hendaklah dilakukan seikhlas-ikhlasnya dengan penuh kebenaran, keadilan, kebijaksanaan dan kesabaran, sebagaimana firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Kami menurunkan al-Qur’an ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya.” 
(az-Zumar, 39:2)

Dari ayat di atas dapat menjelaskan bahawa Allah SWT memerintahkan umatnya supaya mengabdikan diri kita kepadaNya dengan tulus ikhlas dalam erti kata mengerjakan sesuatu amalan kerana Allah SWT tanpa mengharapkan ganjaran.

Syeikh Al Khushairi seorang pengasas tasawuf menerangkan bahawa ikhlas itu ialah mengerjakan ibadah kerana ingin mendekatkan diri kepada Allah SWT bukan kerana untuk mengharapkan balasan semata-mata. Sifat keikhlasan hati itulah yang menjadi pedoman kepada seseorang dalam pekerjaan atau perkhidmatan. Individu yang bekerja dengan penuh keikhlasan hati sudah pasti tidak mudah berputus asa di tengah jalan. Mereka tidak akan berpuas hati sebelum pekerjaan yang dilaksanakannya itu berhasil sepenuhnya. Selain itu, mereka juga tidak sombong apabila menerima pujian, dinaikkan pangkat atau mendapat harta yang banyak dan kedudukan yang baik malahan individu yang bekerja dengan ikhlas tetap terus berusaha sehingga tercapai matlamatnya kerana mereka mengharapkan keredhaan Allah SWT yang tidak ada batasannya.

Imam Ghazali pula mengatakan manusia semuanya mati kecuali yang masih hidup adalah orang yang berilmu tetapi umumnya orang yang berilmu itu sedang nyenyak tertidur kecuali yang jaga adalah orang yang berilmu dan beramal. Tetapi orang yang beramal itu pula sering tergoda atau terpedaya kecuali yang tidak terpedaya hanya orang yang ikhlas tetapi ingatlah bahawa ikhlas itu berada di dalam keadaan yang amat sulit ibarat telur di hujung tanduk.

Imam Ghazali memberikan gambaran yang tepat terhadap sifat yang ikhlas dan kita harus yakin bahawa sesuatu amalan yang dikerjakan dengan ikhlas amat penting dan merupakan senjata yang tidak luntur bagi menghadapi gangguan yang lahir dari syaitan. Firman Allah SWT:

“Iblis berkata Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hamba-Mu yang dibersihkan dari sebarang syirik.” 


(al-Hijr,15:39-40)

Hadis bagi tiga orang yang telah mati syahid diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, perlu menjadi ingatan kita. Hadis sahih riwayat Muslim:

1.  Seorang yang berperang sehingga mati, namun niatnya hendak dikatakan sebagai seorang yang berani.
2.  Seorang yang mahir membaca al-Qur’an dan sentiasa mengajarkannya, namun niatnya hendak dikatakan sebagai seorang alim dan qari.
3.  Seorang yang mempunyai harta yang melimpah ruah dan membelanjakannya ke jalan Allah SWT, namun niatnya hendak dikatakan sebagai seorang yang dermawan.




Oleh itu, ikhlas adalah melakukan segala sesuatu kerana mengharapkan keredhaanNya. Muslim yang ikhlas biasanya memiliki ciri-ciri seperti berikut:

1.  Sentiasa beramal dan bersungguh-sungguh dalam melakukan amalan, baik dalam diri sendiri atau bersama orang lain. Al-Qur’an telah menjelaskan sifat orang-orang beriman yang ikhlas dan sifat orang-orang munafik. Allah SWT berfirman:

“Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhir, tidak akan meminta izin kepadamu untuk (tidak ikut) berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan Allah mengetahui orang-orang yang bertakwa. Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhir, dan hati mereka ragu-ragu, karena itu mereka selalu bimbang dalam keragu-raguannya.”
( At-Taubah, 9:44-45)

2.   Terhindar dari segala perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Seperti yang disebutkan dalam hadis:

“Aku memberitahu bahawa ada suatu kaum dari umatku datang di hari kiamat dengan kebaikan seperti Gunung Tihamah yang putih, tetapi Allah menjadikannya seperti debu-debu yang berterbangan. Mereka adalah saudara-saudara kamu, dan kulitnya sama dengan kamu, melakukan ibadah malam seperti kamu. Tetapi mereka adalah kaum yang jika sendiri melanggar yang diharamkan Allah.” 


(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Matlamat utama orang yang ikhlas adalah redha Allah SWT, bukan mengharapkan redha manusia. Sehingga, mereka sentiasa memperbaiki diri dan terus beramal, baik dalam situasi sendiri atau kepada orang lain kerana mereka yakin Allah SWT maha melihat setiap amal baik dan buruk walau sekecil zarah sekalipun.


Kesimpulannya beramal dan beribadah perlu kepada keikhlasan dan kejujuran. Oleh itu untuk menjadikan sesuatu amalan kekal abadi sempurna zahir dan batin kita perlu melakukan segala amalan dengan tulus dan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT tanpa mengira waktu dan dapat diterima oleh Allah SWT sekaligus meningkatkan ketakwaan kita kepadaNya. Kekuatan hati terletak kepada keikhlasan sebagaiman firman Allah SWT yang bermaksud:




“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah SWT, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (al-An’am, 6:162)




Kita Semua Bakal Bernikah Dengan Kematian




Usai doa sudah habis dibacakan pak imam, masih lagi kedengaran suara teresak-esak menahan tangisan. Beberapa hadirin, masih lagi merah mata mereka, dek kerana menangis melepaskan seseorang. Masing-masing menahan sebak yang tidak dapat ditebak. Semua hadirin datang mengucapkan salam buat pengantin tersebut, sebelum menempuhi alam baru. Hadirin datang menjenguk pengantin tersebut, sebelum datang malam pertamanya.
Masing-masing datang tidak lupa menitipkan Al-Fatihah buat pengantin terbabit. Manakala ahli keluarga tidak putus-putus menerima ucapan takziah dan kata-kata semangat daripada tetamu yang datang. Pengantin yang berpakaian serba putih itu, hanya kaku tidak bergerak. Suasana sayu menyelubungi situasi itu. Tiada gelak ketawa, mahupun muka ceria, melepaskan saudara mereka yang sudah dipanggil Illahi.
Rupa-rupanya pengantin tersebut sudah selamat dinikahkan.
Sudah selamat dinikahkan dengan kematian.
Tidak Mengira Usia
Kematian akan datang kepada seseorang apabila tiba masanya. Malaikat Izrail akan datang menjemput tidak terlalu awal, tidak terlalu lewat daripada masa yang telah ditetapkan. Tepat-tepat masa yang telah ditetapkan, Izrail akan datang menjemput, walau apa jua situasi yang ditempuhi seseorang itu.

Baru-baru ini saya telah menerima berita bahawa seorang daripada bakal guru, telah kembali ke rahmatullah. Asbab daripada pemergian arwah adalah kerana kemalangan. Usai menerima perkhabaran atas pemergian arwah, saya masih tidak percaya kerana pada usia sebegitu muda, setahun muda daripada saya, sudah dijemput menerima panggilan dariNya.
Benarlah, kematian itu tidak mengira usia. Kematian itu sudah ditetapkan saat kita semua di dalam kandungan lagi. Ajal, jodoh dan rezeki sudah ditetapkan sebelum kita semua diberi peluang untuk menjengah ke dunia yang sementara ini lagi.
Hadith riwayat Abdullah bin Masud r.a:
Rasulullah saw. sebagai orang yang jujur dan dipercaya bercerita kepada kami: Sesungguhnya setiap individu kamu mengalami proses penciptaan dalam perut ibunya selama empat puluh hari (sebagai nutfah). Kemudian menjadi segumpal darah selama itu juga kemudian menjadi segumpal daging selama itu pula. Selanjutnya Allah mengutus malaikat untuk meniupkan roh ke dalamnya dan diperintahkan untuk menulis empat perkara yaitu: menentukan rezekinya, ajalnya, amalnya serta apakah ia sebagai orang yang sengsara ataukah orang yang bahagia. Demi Zat yang tiada Tuhan selain Dia, sesungguhnya salah seorang dari kamu telah melakukan amalan penghuni surga sampai ketika jarak antara dia dan surga tinggal hanya sehasta saja namun karena sudah didahului takdir sehingga ia melakukan perbuatan ahli neraka maka masuklah ia ke dalam neraka. Dan sesungguhnya salah seorang di antara kamu telah melakukan perbuatan ahli neraka sampai ketika jarak antara dia dan neraka tinggal hanya sehasta saja namun karena sudah didahului takdir sehingga dia melakukan perbuatan ahli surga maka masuklah dia ke dalam surga.
Kematian Sebagai Tazkirah
Saban hari kita melakukan rutin harian, sedarkah kita kematian itu sangat hampir dengan kita? Setiap kali kita lalai dan leka, sedarkah kita kematian bila-bila sahaja boleh menjemput kita?
Jika hari ini kita mendengar kisah kematian orang lain, suatu hari nanti orang lain akan mendengar kisah kematian kita. Mendengar perkhabaran kematian arwah baru-baru ini, diri ini disapa dengan rasa keinsafan. Tiba-tiba terfikir, cukupkah amalan diri sendiri untuk dibawa ke sana? Amalan diri sendiri sebagai bukti untuk menghadapNya. Cukuplah kematian itu sebagai tazkirah kepada kita.
Sebelum pergi menghadapNya, ayuh sama-samalah kita mempertingkatkan lagi amalan kita. Teruskan memberi peringatan sesama kita sebelum kematian itu datang menjengah dan menjemput kita semua.

Saya bakal bernikah.
Kita semua bakal bernikah.
Kita semua bakal bernikah dengan kematian.
Bersediakah kita untuk dijemput Izrail?
Bersediakah kita untuk menghadapi malam pertama bersama Munkar dan Nakir?
Bersediakah kita menempuhi alam yang baru, tanpa bekalan yang benar-benar mencukupi?



Sunday 25 November 2012

"Kedudukan Wanita dari Perspektif Tasawur Islam"





TUGASAN BLOG SIW 505

“Kedudukan Wanita dari Perspektif Tasawur Islam”

NAMA : NOR ASARIAH BINTI ILIAS
PROGRAM : CALON SARJANA SAINS SOSIAL ( PENGURUSAN PEMBANGUNAN ISLAM)
NO.MATRIK : P-SM0128/1


Apa yang istimewanya tarikh 8 Mac setiap tahun? Untuk pengetahuan semua tarikh 8 Mac merupakan hari yang istimewa untuk kaum wanita seluruh dunia kerana pada tarikh ini mereka akan diraikan dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa (International Woman’s Day).  Hari wanita bermula daripada sebuah kisah wanita biasa yang mencipta sejarah iaitu sejarah perjuangan wanita yang berabad lamanya untuk persamaan hak, keadilan, keamanan dan kemajuan dalam kehidupan. Oleh hal yang demikian, Islam tidak menunggu Hari Wanita untuk berbicara tentang wanita. Al-Qur’an dan hadis banyak membicarakan kisah wanita sepanjang masa. Surah an-Nisa’, an-Nur, at-Talaq dan lain-lain menggambarkan keprihatinan Islam terhadap martabat wanita.

Sebelum kedatangan Islam yang lebih dikenali sebagai zaman Jahiliah, kaum wanita dipandang sebagai pembawa malang dan aib dalam sesebuah keluarga. Mereka menganggap yang wanita tidak berguna dalam institusi keluarga. Hal ini kerana, mereka tidak diberi kepercayaan untuk mengangkat senjata dan menghunuskan pedang bagi menegakkan maruah keluarga. Lebih-lebih lagi apabila berlaku pencerobohan atau peperangan untuk menentang musuh. (Muhammad Zulhilmi Mohd Razali, 2012). Oleh itu, apabila sesebuah keluarga dikurniakan seorang bayi perempuan, mereka tidak akan gembira  menyambutnya. Malah timbul dua pilihan bagi mereka samada bayi tersebut akan ditanam hidup-hidup ataupun keluarga tersebut akan menanggung malu dalam hidup bermasyarakat. (Kayrozz, 2012). Hal ini dinyatakan oleh Allah S.W.T sebagaimana firman-NYA yang bermaksud :

“Dan sekiranya salah seorang dari mereka diberitahu tentang kelahiran seorang anak perempuan, mukanya terus jadi hitam kerana terlalu marah. Dia sembunyikan diri dari kaumnya kerana keburukan berita yang disampaikan kepadanya, apakah patut dipeliharanya dengan rasa malu atau ditanamkannya ke dalam tanah. Alangkah buruknya apa yang mereka putuskan”. (al-Nahl, 16:58-59)

Ringkasnya, kehidupan pada zaman Jahiliah menjadikan wanita sebagai hamba sahaja. Kemudian, Allah S.W.T mengutuskan Nabi Muhammad S.A.W, maka berlakulah perubahan dalam struktur masyarakat Arab jahiliah. Antaranya  dalam aspek sosial berkaitan lelaki dan wanita, rumahtangga dan kekeluargaan. Oleh itu, wujud dalam Islam hukum-hakam yang berkaitan rumahtangga dan kekeluargaan seperti talaq, lian, ila, zihar, nafkah dan lain-lain. Kesemua hukum ini bermaksud untuk menyusun dan membentuk sistem kekeluargaan dengan memberikan keadilan kepada suami dan isteri, lelaki dan wanita. Hak dan tanggungjawab dipertegaskan di dalam kesemua hukum ini. Takwa sentiasa disebut di dalam al-Qur’an mengiringi hukum talaq dan lain-lain, agar tindakan yang dibuat didasarkan kepada akal waras serta nilai pahala dan dosa, bukan didasari emosi semata-mata yang kemudiannya menzalimi wanita.  Alangkah cantiknya hukum Islam ini yang telah mengeluarkan wanita dari lembah kehinaan, alat dan objek seks semata-mata dan menjadi bahan dagangan manusia tidak bertamadun. (Muhammad Nasri Nik Malek, 2011)


Selepas kedatangan Islam untuk mengangkat maruah kaum wanita dari kedudukan yang hina, kaum wanita telah diangkat martabatnya setanding kaum lelaki. Rasulullah SAW telah memerintahkan supaya kaum wanita diperlakukan menurut fitrah ia dijadikan sebagaimana dalam sabdanya yang bermaksud:

“Berlaku baiklah terhadap kaum wanita lantaran mereka diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok adalah bahagian yang teratas, jika kamu cuba untuk meluruskannya kamu akan mematahkannya dan jika kamu membiarkannya ia akan tetap bengkok, maka berlaku baiklah terhadap kaum wanita kamu.” ( Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim, no. Hadis 4890)
Wanita menurut perspektif Islam, amat dihormati dan dihargai peranannya kerana  amat bersesuaian dengan epistemologi dan tasawur islam yang mengangkat martabat wanita dari ditindas. Sebagaimana eratnya hubungan siang dan malam yang saling melengkapi, begitu juga lelaki dan wanita diciptakan untuk saling melengkapi.  Oleh itu, setiap lelaki dan wanita memiliki tugas-tugas dan kewajipan yang berlainan, sesuai dengan fitrah masing-masing. Namun, matlamat hidup setiap lelaki dan wanita adalah sama, iaitu mencari redha Allah (Mardhatillah).
Allah S.W.T berfirman yang bermaksud :
"Barangsiapa yang mengerjakan amalan yang soleh baik lelaki mahupun wanita sedang ia seorang yang beriman maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikitpun." (an-Nisa’, 4:124)
Selain itu, dalam Islam wanita diciptakan sebagai penenteram dan penenang hati sebagaimana Firman Allah yang bermaksud:
"Dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah, Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya." (ar-Rum, 30:21)

Sebenarnya, apa yang perlu disedari ialah  semua manusia pada dasarnya sama taraf di sisi Allah S.W.T, yang membezakan seseorang dengan seseorang yang lain hanyalah takwanya, iaitu kepatuhannya mengerjakan amalan yang disuruh dan meninggalkan perbuatan yang dilarang.
Allah S.W.T berfirman yang bermaksud :
"Dan beribadahlah kepada Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya Dengan sesuatu pun " (an-Nisa’, 4:36).

Wanita pada zaman ini bukan sahaja sudah ramai yang menyamai lelaki, bahkan lebih ke hadapan lagi. Ramai yang menjadi menteri, ketua jabatan dan sebagainya. Namun kejayaan di atas dunia ini tidak bermakna jika tidak disertai takwa kepada Allah S.W.T.  Selain itu, kesamarataan yang sering diperjuangkan oleh golongan feminis barat adalah berbeza dengan Islam. Islam menganjurkan keadilan yang bermaksud meletakkan sesuatu yang betul di tempatnya.( A.Ralim M Yassen, 2011) Wanita tidak dihalang untuk menuntut ilmu walau setinggi langit, berkerjaya walau sebesar bumi, tetapi terdapat tempat-tempat yang hanya lelaki berhak menduduki tempat pertama, seperti mengimami Solat Jumaat dan menjadi pemimpin tertinggi umat. Hal ini kerana, tidak semua perkara yang boleh dibuat oleh lelaki boleh pula dibuat oleh wanita atas dasar kesamarataan, begitu juga dengan keadaan sebaliknya. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud :
"Lelaki ialah pemimpin bagi perempuan oleh kerana Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana lelaki selepas menafkahkan sebahagian daripada harta mereka." (an-Nisa’, 4:34)

Lazimnya, di sebalik kejayaan seseorang lelaki itu ada seorang wanita menjadi tunjang di belakangnya. Keindahan dan kecantikan seseorang wanita itu terletak pada sejauh mana wanita tersebut dapat menjaga maruahnya. Manakala, kebijaksanaan wanita pula terletak pada hatinya. Wanita lebih cepat menangis daripada lelaki, hal ini memang sifat azalinya. Wanita adalah kejadian terindah yang dicipta bagi melengkapi dan menutup kekurangan lelaki. Oleh itu, peranan lelaki dan wanita adalah sama penting iaitu untuk  menjadikan dunia ini aman harmoni di bawah naungan Allah S.W.T.  Justeru, bagi mencapainya lelaki dan wanita perlu memainkan peranan masing-masing menurut apa yang telah ditetapkan oleh syarak dan juga undang-undang yang adil.



SENARAI RUJUKAN

A.Ralim M Yassen,(2011)Memperingati Hari Wanita Sedunia: Ingatlah wahai wanita. Accessed on 10 October 2012 from http://www.malaysiaharmoni.com/v2/index.php/editorial/1-editorial/654-memperingati-hari-wanita-sedunia-ingatlah-wahai-wanita

Kayrozz,(2012) Kasanova :Wanita Ibarat di Zaman Jahiliah. Accessed on 7 October 2012

Muhammad Nasri Nik Malek, (2011) Islam Angkat Martabat Wanita, Mengapa Kembali Jahiliah? Accessed on 10 October 2012 from http://www.niknasri.com/?p=6676

Muhammad Zulhilmi Mohd Razali,(2012) Jahiliyyah Moden Suatu Perspektif. Accessed on 5 October 2012 from http://mencarimardhatillah-ansarullah.blogspot.com/2012/02/jahiliyyah-moden-suatu-perspektif.html


Monday 5 November 2012

‎7 Ayat-ayat Cinta yang Kekal Selamanya..!!


Juz nk share dgn anda.. Basahi lidah kita dgn 7 KaLiMaH di bwh..

1. Bismillahhirrahmannirahim:
pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.



2. Alhamdulillah:
pada tiap-tiap habis melakukan sesuatu.

3. Astagfirullahalazim:
jika tersilap mengatakan sesuatu yang buruk.

4. Insyaallah:
jika ingin melakukan sesuatu pada masa akan datang.

5. Lahaulawalaquatai llahbillah:
bila tidak dapat melakukan sesuatu yang agak berat atau melihat sesuatu yang buruk.

6. Innalillah:
jika menghadapi musibah atau melihat kematian.

7. Lailahaillallah:
bacalah sepanjang siang dan malam sebanyak-banyaknya. Amalkanlah selalu moga-moga kita tergolong dikalangan orang-orang yang terpilih olah Allah...



Sabda Rasulullah s.a.w :

"Barangsiapa yang hafal dan mengamalkan tujuh kalimah ini akan dimuliakan oleh Allah dan malaikat dan akan diampuni dosa-dosanya walau sebanyak buih dilautan"
Wallahualam...