TUGASAN BLOG SIW 505
“Kedudukan
Wanita dari Perspektif Tasawur Islam”
NAMA : NOR ASARIAH BINTI ILIAS
PROGRAM : CALON SARJANA SAINS SOSIAL ( PENGURUSAN
PEMBANGUNAN ISLAM)
NO.MATRIK : P-SM0128/1
Apa yang istimewanya
tarikh 8 Mac setiap tahun? Untuk pengetahuan semua tarikh 8 Mac merupakan hari
yang istimewa untuk kaum wanita seluruh dunia kerana pada tarikh ini mereka
akan diraikan dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa (International Woman’s Day). Hari wanita bermula daripada sebuah kisah
wanita biasa yang mencipta sejarah iaitu sejarah perjuangan wanita yang berabad
lamanya untuk persamaan hak, keadilan, keamanan dan kemajuan dalam kehidupan. Oleh
hal yang demikian, Islam tidak menunggu Hari Wanita untuk berbicara tentang
wanita. Al-Qur’an dan hadis banyak membicarakan kisah wanita sepanjang masa.
Surah an-Nisa’, an-Nur, at-Talaq dan lain-lain menggambarkan keprihatinan Islam
terhadap martabat wanita.
Sebelum kedatangan Islam
yang lebih dikenali sebagai zaman Jahiliah, kaum wanita dipandang sebagai
pembawa malang dan aib dalam sesebuah keluarga. Mereka menganggap yang wanita
tidak berguna dalam institusi keluarga. Hal ini kerana, mereka tidak diberi
kepercayaan untuk mengangkat senjata dan menghunuskan pedang bagi menegakkan
maruah keluarga. Lebih-lebih lagi apabila berlaku pencerobohan atau peperangan
untuk menentang musuh. (Muhammad Zulhilmi Mohd Razali, 2012).
Oleh itu, apabila sesebuah keluarga dikurniakan seorang bayi perempuan, mereka
tidak akan gembira menyambutnya. Malah
timbul dua pilihan bagi mereka samada bayi tersebut akan ditanam hidup-hidup
ataupun keluarga tersebut akan menanggung malu dalam hidup bermasyarakat. (Kayrozz, 2012). Hal ini dinyatakan oleh Allah S.W.T
sebagaimana firman-NYA yang bermaksud :
“Dan
sekiranya salah seorang dari mereka diberitahu tentang kelahiran seorang anak
perempuan, mukanya terus jadi hitam kerana terlalu marah. Dia sembunyikan diri
dari kaumnya kerana keburukan berita yang disampaikan kepadanya, apakah patut
dipeliharanya dengan rasa malu atau ditanamkannya ke dalam tanah. Alangkah
buruknya apa yang mereka putuskan”. (al-Nahl, 16:58-59)
Ringkasnya, kehidupan
pada zaman Jahiliah menjadikan wanita sebagai hamba sahaja. Kemudian, Allah
S.W.T mengutuskan Nabi Muhammad S.A.W, maka berlakulah perubahan dalam struktur
masyarakat Arab jahiliah. Antaranya dalam aspek sosial berkaitan lelaki dan
wanita, rumahtangga dan kekeluargaan. Oleh itu, wujud dalam Islam hukum-hakam
yang berkaitan rumahtangga dan kekeluargaan seperti
talaq, lian, ila, zihar, nafkah dan lain-lain. Kesemua hukum ini bermaksud untuk
menyusun dan membentuk sistem kekeluargaan dengan memberikan keadilan kepada
suami dan isteri, lelaki dan wanita. Hak dan tanggungjawab dipertegaskan di dalam
kesemua hukum ini. Takwa sentiasa disebut di dalam al-Qur’an mengiringi hukum talaq dan lain-lain, agar tindakan yang
dibuat didasarkan kepada akal waras serta nilai pahala dan dosa, bukan didasari
emosi semata-mata yang kemudiannya menzalimi wanita. Alangkah cantiknya hukum Islam ini yang telah
mengeluarkan wanita dari lembah kehinaan, alat dan objek seks semata-mata dan
menjadi bahan dagangan manusia tidak bertamadun. (Muhammad Nasri Nik Malek,
2011)
Selepas kedatangan Islam untuk mengangkat maruah kaum wanita dari kedudukan yang hina, kaum wanita telah diangkat martabatnya setanding kaum lelaki. Rasulullah SAW telah memerintahkan supaya kaum wanita diperlakukan menurut fitrah ia dijadikan sebagaimana dalam sabdanya yang bermaksud:
“Berlaku baiklah terhadap kaum wanita lantaran mereka diciptakan dari
tulang rusuk yang bengkok adalah bahagian yang teratas, jika kamu cuba untuk
meluruskannya kamu akan mematahkannya dan jika kamu membiarkannya ia akan tetap
bengkok, maka berlaku baiklah terhadap kaum wanita kamu.” ( Hadis
Riwayat Al-Bukhari dan Muslim, no. Hadis 4890)
Wanita menurut perspektif Islam, amat dihormati dan dihargai peranannya kerana amat bersesuaian dengan epistemologi dan
tasawur islam yang mengangkat martabat wanita dari ditindas. Sebagaimana eratnya hubungan
siang dan malam yang saling melengkapi, begitu juga lelaki dan wanita
diciptakan untuk saling melengkapi. Oleh
itu, setiap lelaki dan wanita memiliki tugas-tugas dan kewajipan yang
berlainan, sesuai dengan fitrah masing-masing. Namun, matlamat hidup setiap
lelaki dan wanita adalah sama, iaitu mencari redha Allah (Mardhatillah).
Allah S.W.T berfirman
yang bermaksud :
"Barangsiapa yang mengerjakan amalan yang soleh baik lelaki mahupun
wanita sedang ia seorang yang beriman maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan
mereka tidak dianiaya walau sedikitpun." (an-Nisa’, 4:124)
Selain itu, dalam Islam wanita diciptakan sebagai
penenteram dan penenang hati sebagaimana
Firman Allah yang bermaksud:
"Dan
diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah, Dia menciptakan untukmu isteri-isteri
dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram
kepadanya." (ar-Rum, 30:21)
Sebenarnya, apa yang perlu disedari ialah semua manusia pada dasarnya sama taraf di sisi
Allah S.W.T, yang membezakan seseorang dengan seseorang yang lain hanyalah
takwanya, iaitu kepatuhannya mengerjakan amalan yang disuruh dan meninggalkan perbuatan
yang dilarang.
Allah S.W.T berfirman yang bermaksud :
"Dan beribadahlah kepada Allah dan janganlah
kamu mempersekutukan-Nya Dengan sesuatu pun " (an-Nisa’, 4:36).
Wanita pada zaman ini bukan sahaja sudah ramai yang
menyamai lelaki, bahkan lebih ke hadapan lagi. Ramai yang menjadi menteri,
ketua jabatan dan sebagainya. Namun kejayaan di atas dunia ini tidak bermakna
jika tidak disertai takwa kepada Allah S.W.T. Selain itu, kesamarataan yang sering
diperjuangkan oleh golongan feminis barat adalah berbeza dengan Islam. Islam menganjurkan
keadilan yang bermaksud meletakkan sesuatu yang betul di tempatnya.( A.Ralim
M Yassen, 2011) Wanita tidak dihalang untuk menuntut
ilmu walau setinggi langit, berkerjaya walau sebesar bumi, tetapi terdapat
tempat-tempat yang hanya lelaki berhak menduduki tempat pertama, seperti
mengimami Solat Jumaat dan menjadi pemimpin tertinggi umat. Hal ini kerana,
tidak semua perkara yang boleh dibuat oleh lelaki boleh pula dibuat oleh wanita
atas dasar kesamarataan, begitu juga dengan keadaan sebaliknya. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud :
"Lelaki
ialah pemimpin bagi perempuan oleh kerana Allah melebihkan sebahagian mereka
(lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana lelaki selepas
menafkahkan sebahagian daripada harta mereka." (an-Nisa’, 4:34)
Lazimnya, di sebalik
kejayaan seseorang lelaki itu ada seorang wanita menjadi tunjang di
belakangnya. Keindahan dan kecantikan seseorang wanita itu terletak pada sejauh
mana wanita tersebut dapat menjaga maruahnya. Manakala, kebijaksanaan wanita
pula terletak pada hatinya. Wanita lebih cepat menangis daripada lelaki,
hal ini memang sifat azalinya. Wanita adalah kejadian terindah yang dicipta
bagi melengkapi dan menutup kekurangan lelaki. Oleh
itu, peranan lelaki dan wanita adalah sama penting iaitu untuk menjadikan dunia ini aman harmoni di bawah
naungan Allah S.W.T. Justeru, bagi
mencapainya lelaki dan wanita perlu memainkan peranan masing-masing menurut apa
yang telah ditetapkan oleh syarak dan juga undang-undang yang adil.
SENARAI RUJUKAN
A.Ralim M
Yassen,(2011)Memperingati Hari Wanita
Sedunia: Ingatlah wahai wanita. Accessed on 10 October 2012 from http://www.malaysiaharmoni.com/v2/index.php/editorial/1-editorial/654-memperingati-hari-wanita-sedunia-ingatlah-wahai-wanita
Kayrozz,(2012) Kasanova :Wanita Ibarat di Zaman Jahiliah. Accessed on 7 October
2012
Muhammad Nasri Nik Malek, (2011) Islam Angkat Martabat Wanita, Mengapa
Kembali Jahiliah? Accessed
on 10 October 2012 from http://www.niknasri.com/?p=6676
Muhammad Zulhilmi Mohd
Razali,(2012) Jahiliyyah Moden Suatu
Perspektif. Accessed on 5 October 2012 from http://mencarimardhatillah-ansarullah.blogspot.com/2012/02/jahiliyyah-moden-suatu-perspektif.html
No comments:
Post a Comment